Monday, 23 April 2018

TRAVELOG HAJI: Mujur Prostate Selepas Haji


Walaupun dibenarkan keluar wad, pesakit perlu pakai tiub.

Tanpa tiub, sakit yang amat meneran kencing. Tiub dimasukkan ke dalam salur kencing melalui kemaluan.

Itulah yang dialami oleh pesakit prostate. Sakit tak boleh buang air kecil secara normal. Penyakit yang mula hinggap kepada kaum Adam bermula dari umur 40 tahun.

Bapa saya berumur 87 tahun. Prostate bapa membengkak, lalu menyumbat laluan air kecil.

Sudah seminggu bapa keluar dari hospital. Tinggal seminggu lagi jaraknya untuk rawatan susulan. Selepas itu, entah boleh ditanggalkan tiub, entah tidak.

Tanggal dan pasangkan tiub, ada caranya. Bukan boleh main kasar.

Dalam satu insiden, saya bagai nak bertempik kepada Pembantu Perubatan di klinik kesihatan.

Walaupun saya dibalik tirai, perit betul bapa menahan sakit. Bapa saya tak pernah meraung. Cara dia mengerang, saya tahu sakit sangat.

Di hospital, doktor pakar perlu menukar tiub.

Tiub sedia ada, satu saluran masuk, dua cabang keluar. Tiub yang baru, satu masuk, 3 cabang keluar. Salah satu cabang gunanya untuk masukkan air; mencuci bahagian dalaman.

Bapa tak setuju. Datang dua orang doktor lagi. Mereka cuba memujuk.

Bapa tak sanggup menanggung perit semasa ditanggal dan dimasukkan tiub. Setiap kali masuk tiub, mesti banyak darah mengalir keluar bersama air kencing.

Doktor pakar pun ada beritahu, itu kesan luka akibat tiub.

Tirai diselak. Salah seorang doktor menghampiri saya. Beliau mohon kerjasama.

Hati tak sanggup melawan bapa. Apalagi menyeksa dirinya. Tapi itu prosedur.

Saya terpaksa berfikir yang baik-baik. Saya beri kata setuju. Para doktor lega. Bapa mengerut muka.

Doktor perempuan berlalu pergi. Doktor pakar dan doktor pelatih sedia menjalankan prosedur. Tirai ditutup.

Saya memasang telinga. Tiub mula ditanggalkan. Bapa mendengus. Doktor pakar mula memberi arahan.

"Jangan tahan nafas, pak cik. Bernafas macam biasa."

Kali kedua, tinggi sedikit nadanya. "Jangan tekan, jangan tahan nafas, pak cik. Bernafas macam biasa."

Kali ketiga, lagi tinggi nadanya. Selesai. Misi berakhir dengan gelak ketawa.

Tirai dibuka. Saya minta penjelasan.

Hmm, kena ada pakar juga. Baru okay.


No comments:

Post a Comment