![]() |
Buku Travelog Haramain ini mendapat Geran Malaysiana daripada Perbadanan Kota Buku. |
Kita sedia maklum, Syawal adalah bulan kesepuluh dalam takwim hijrah. Maksudnya, lebih kurang dua bulan sahaja lagi para bakal haji akan bertolak ke Tanah Suci.
Sekarang sudah bulan syaaban; bulan kelapan hijrah.
Mulai tahun ini, para jemaah haji Malaysia akan berkumpul di Kompleks Tabung Haji KLIA. Bangunannya di sebelah KLIA. Bukan lagi di Kelana Jaya.
Ini sudah tentu memudahkan para bakal haji dan kaum keluarga. Malah meningkatkan lagi kecekapan pengurusan jemaah oleh pihak Tabung Haji.
Di Masjidil Haram pula, projek penambahbaikan telaga zamzam kira-kira 20 meter dari Kaabah, dijangka siap pada akhir bulan Syaaban 1439H.
Wah! Kepada bakal tetamu Allah pada bulan Ramadhan tahun ini, tentu sudah tidak sabar hendak melihat sendiri telaga yang berusia 5000 tahun dan dipercayai sebagai telaga tertua di dunia.
![]() |
Kredit foto lokasi telaga zamzam, www.ismaweb.net |
Tahun 2001 dan 2002, telaga zamzam masih lagi dibuka. Seperti para jemaah lain, saya juga tidak melepaskan peluang, turun dan nampaklah air zamzam yang membuak-buak, malah tidak pernah kering sejak dahulu.
Sedangkan, jika jemaah haji membawa pulang hanya 5 liter air zamzam seorang, sekurang-kurangnya sebanyak 50 juta liter air zamzam telah digunakan setahun.
Bayangkan dengan kedalaman 30 meter, telaga zamzam ini mengepam air sehingga 18.5 liter sesaat. Dengan kandungan kalsium dan magnesium yang tinggi, tidak hairanlah air zamzam mampu menyihatkan badan, malah menyembuhkan penyakit.
Ketika di Masjidil Haram, kita ingin membuat kebaikan sebanyak mungkin. Tambahan pula ganjaran 100,000 pahala hanya boleh diperolehi di Tanah Suci Makkah.
Lalu kita akan sibuk beribadah dan cuba sedaya upaya membantu sesama ahli jemaah dan orang lain. Sehingga ada yang sanggup menggendong warga tua melakukan tawaf. Hmm, dahsyat sekali usaha mencari pahala.
Namun, kita mungkin lupa satu perkara. Jika kita menggendong orang untuk menyempurnakan tawaf, orang yang digendong sahaja akan mendapat pahala. Ini berbeza apabila kita menolak kerusi roda; orang yang ditolak dan menolak akan sama-sama dapat pahala.
No comments:
Post a Comment