Sunday, 22 April 2018

KEMBARA HAJI / HARAMAIN: Apa Yang Dicari?


Karya ini mendapat Geran Malaysiana daripada Perbadanan Kota Buku. Sempena pesta buku antarabangsa PBAKL 2018, e-Buku Kembara Haramaian Bersama Ayah Bonda Tercinta dipamer untuk perlesenan antarabangsa. Mudah-mudahan menarik minat para delegasi luar negara yang menyertai sesi KLTCC; Kuala Lumpur Trade and Copyright Centre.

Mengisahkan seorang anak yang tidak berharta, dipilih Allah SWT menjadi pengiring haji kepada kedua-dua ibu bapa tercinta. Lalu mereka pasrah menyelit diri, di celah-celah lautan manusia yang mengejar Haji Mabrur.

Semalam berlalu
bersama tingkah dan laku
yang engkau kesali.

Hari ini doamu 
ke langit tinggi
menagih rahmat Ilahi.

Pintamu ada usia
menjejak kaki ke Tanah Suci.

Wahai Tuhan
kabulkan segala permintaan.

Hanya dari-Mu kami beroleh 
segala kekuatan.


Simulasi haji, Masjid Jamek, Bota Kanan, Perak.


Mulanya saya teragak-agak untuk hadir.

Ibu di meja makan. Saya mendekati. Kata ibu, puasa pada hari-hari putih hukumnya sunat sahaja. Bulan depan masih boleh puasa. Lagipun, elok kita raikan mereka yang akan pergi haji.

Mereka bakal menjadi tetamu Allah SWT. Sudah tentu mereka dimuliakan Tuhan. Dosa mereka akan diampunkan. Doa untuk diri mereka sendiri akan dimakbulkan. Begitu juga doa mereka kepada sesiapa sahaja.

Sayang hendak membatalkan puasa, tetapi saya akur. Semalam, 1 hb Aprl 2018 adalah hari tamat Kursus Asas Haji Bersiri selama 17 minggu, anjuran Tabung Haji, di Masjed Jamek, Bota Kanan, Perak.

Seawal 8.30 pagi, 220 orang peserta kursus mula berkumpul. Tidak seperti selalu, sebuah kereta pun tidak diparkir di perkarangan masjid. Hanya kelihatan replika Kaabah dan jamrah (tempat melontar). Ada praktikal haji.

Para peserta lelaki hampir semua memakai kain ihram. Rata-rata mereka membeli kain ihram putih berharga RM60 sepasang dengan tenunan berpetak-petak. Kainnya tidak tebal dan tidaklah jarang. Sedang-sedang sahaja.

Pada salah satu bucu kain, ada tulisan jawi “Malaysia” berserta bendera negara.

Para peserta wanita pula semuanya menutup aurat dengan sempurna. Hampir semua mengenakan telekung. Ramai juga berdiri rapat-rapat. Ada juga yang berpimpin tangan; mungkin mereka anak-beranak.

Menariknya, simulasi haji dibuat secara bersungguh-sungguh. Walaupun ini sekadar simulasi, pesan Ustaz pembimbing haji tidak diabaikan.

Seperti di masjid-masjid lain yang menjalankan kursus haji, pesanan ini diulang sejak tahun-tahun sebelum ini.

“Buat yang terbaik seolah-olah sudah berada di Tanah Suci. Insya-Allah apa yang kita usahakan di sini, begitu juga yang akan terjadi ketika di sana nanti.”

Pada saat minda tidak dapat berfikir dengan rasional, kita berpotensi mengikut emosi dan gerak kaki.

Jika kebaikan menjadi amalan, biasa mengikut peraturan dan melakukan yang terbaik, insya-Allah kita masih boleh cemerlang dalam menyempurnakan setiap rukun dan wajib haji, walaupun dalam keadaan kritikal.

Ada juga kejadian di mana seorang bakal haji membuat sambil lewa ketika simulasi.

Arahan Ustaz, “lepas melontar Jamrah Kubra, jalan terus dan belok kanan.”

Kata-kata Ustaz diperlekehkan. Alah, ini kursus praktikal, bukan betul-betul. Sementara orang lain belok kanan, dia pula membelok ke kiri.

Tiba hari sebenar, keadaan yang sama terjadi. Selepas melontar Jamrah Kubra di Mina, orang itu terus membelok ke kiri dan berjalan berbatu-batu; tidak jumpa khemah penginapan.

Manalah hendak berjumpa, laluan itu menghala ke Mekah.

Jika dia terus berjalan hingga bertemu Masjidil Haram, mungkin boleh melakukan tawaf haji dan saei haji. Tetapi dia juga kurang ilmu.

Teringat saya tentang petua daripada seorang pembimbing haji suatu ketika dahulu.

“Di Malaysia, kalau berpusu-pusu di jalan raya, bagi saja laluan. Senangkan orang lain. Tak payahlah nak himpit kereta orang. Insya-Allah bila tawaf di Masjidil Haram nanti, ada banyak laluan kosong untuk kita.”

Memang betul kata Ustaz. Walaupun dalam keadaan bersesak-sesak, ada sahaja ruang depan yang dilapangkan Allah.

Tapi bukan senang hendak melembutkan hati sendiri. Kan. Ibaratnya macam aktiviti berenang. Jika tidak selalu berenang, mana mungkin kita akan menjadi perenang yang bagus.

Semasa berbaris di mana-mana pun begitu juga. Tak payahlah nak berebut-rebut. Nanti kita akan selalu tersenyum di Tanah Suci. Allah akan bayar Cash On Delivery.

Bukankah seronok andai terdetik apa dihati, ada sahaja yang memberi? Baik air minuman, buah-buahan, laluan mudah dan ruang beribadah. Itu baru hal hati terdetik.

Bayangkan andainya segala doa kita dimakbulkan. Ya Allah, seronoknya.

Namun, malang tidak berbau. Berlaku juga perkara-perkara yang di luar jangkaan.

Semasa praktikal melontar, hampir sahaja kepala Ustaz Ibrahim Bin Syaari, pembimbing utama haji, dipenggal batu.

Mujur ada yang bertempik.

Seorang peserta wanita membaling batu dari jauh. Belum sempat pun Ustaz mendekati replika jamrah.

Sebagai pembimbing haji yang bertauliah, Ustaz tidak marah. Malah beliau kesal pula.

Kata beliau, mungkin penerangan beliau sepanjang kursus tidak begitu jelas.

Pantas beliau bergerak rapat ke tebing replika Jamrah Kubra. Cara-cara melontar dengan sempurna segera ditunjukkan.

Jika melontar dari jauh, belum tentu 7 biji batu lontaran, masuk ke dalam lubang jamrah. Jika tidak cukup satu biji yang masuk, dam yang perlu dibayar adalah seekor kambing.

Tambahan pula ketika melontar, para wanita tidak perlu mengangkat tangan hingga terbuka ketiak.

Selepas penerangan itu, bertalu-talu soalan dikemukakan.

Ustaz tidak menghampakan. Malah cuba memberi pencerahan dengan begitu terperinci. Tidak terasa hangat matahari yang mula menyengat.

Para peserta kemudian masuk semula ke dalam masjid. Upacara tamat Kursus Haji Asas Bersiri tahun 1439H disempurnakan oleh YB ADUN Parit.

Ketika berucap, YB sempat berpesan; janganlah menjadi angkuh dan sombong.

Mungkin kita sudah banyak kali pergi umrah, lalu berlaku hebat sehingga semua selok-belok lorong di Mekah semua kita tahu.

Tup-tup selepas tawaf, ada yang tidak nampak jalan keluar.

Hal ini terjadi kepada pihak yang lebih tinggi kedudukannya daripada YB, suatu ketika dahulu.

Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, beliau juga menyarankan supaya para bakal haji berdoa sebanyak mungkin.

“Mohonkan juga keselamatan dan keamanan negara. Rugi kalau kita tidak berdoa terutama di tempat-tempat mustajab doa. Janganlah cakap, ya Allah, hari ini doa aku macam semalam saja. Amin.” Begitulah antara kata-kata daripada beliau.

Sebagai peserta kursus, saya tidak puas mendengar amanat daripada YB. Masa begitu cemburu.

Bacaan doa kemudian dipanjatkan sebagai mengiringi para bakal haji.

Tidak ketinggalan doa kepada para peserta yang belum menerima surat tawaran haji mahupun yang masih menunggu giliran haji pada tahun-tahun yang mendatang.

Semoga kita semua dikurniakan dengan Haji Mabrur.

Haji Mabrur adalah tingkatan haji yang tertinggi. Sesiapa yang mendapat Haji Mabrur, dosanya akan diampunkan dan diberi ganjaran syurga.

Sebelum bersurai, para peserta kursus menjamu selera dengan hidangan yang lebih istimewa daripada minggu-minggu sebelumnya.

Suasana semalam menggamit kenangan ketika membantu ayah bonda menyiapkan diri bagi melaksanakan tuntutan haji.

Ya Allah, jemputlah kami ke Tanah Suci lagi. Mudah-mudahan ada peluang bagi kedua-dua ibu bapaku disemadikan di Perkuburan Baqi'.

Amin.

No comments:

Post a Comment