Saturday, 2 March 2019

Buku Haji Travelog Haramain Ke Istanbul Sedangkan Mata Emak Semakin Kabur

Kredit foto; facebook Hafiz Latiff, Istanbul Fellowship 26, 27, 28 Februari 2019

Melihat buku haji dibawa ke luar negara, seronoknya sampai kembang kuncup hidung. Oh, bukan hidung sahaja! Semua pancaindera agaknya. Walaupun tahu bukan senang untuk mendapatkan pelesenan hak cipta, namun sebagai seorang penulis, saya mesti terus berusaha. Di mana ada peluang, tak mahu saya ketinggalan. 

Sekurang-kurangnya, saya lega kerana buku Travelog Haramain Mengiringi Ibu Bapa Tercinta ini telah lulus proses penilaian oleh pihak perwakilan, sebulan sebelum mereka bertolak dari Malaysia. 

Ketika menerima e-mel daripada Tuan Hafiz Latiff, badan saya seolah-olah terbang jauh meninggalkan rumah pusaka yang kian reput diratah anai-anai. Saya menghirup wangian baharu; nipis dan menyegarkan. Syukur, saya pilih menjadi penulis. Ini bukan kerja sia-sia. Ada tanggungjawab memandaikan bangsa, juga menyumbang sesuatu kepada negara. 

Sebak. Saya pandang emak. Senyumnya lebar. Tambah bersemangat ketika saya membaca segala cerita kepadanya. Emak melihat melalui sebelah mata. Mata kiri emak sarafnya telah rosak. Tiada lagi sebarang objek dilihat menerusi mata ini. Allah sudah tarik nikmat melihat. 

"Tapi bukan sakit, nampak terang saja." Pada fikiran emak, rosak mata maknanya gelap pandangan.

Emak meminta buku Travelog Haramain. Sangka saya, emak mahu saya membacakan. Tidak. Tangan yang kian menonjol bentuk tulang membelek muka surat hingga tiba ke setiap foto. Lama matanya mengamati, sebelum berpindah ke foto di halaman yang lain.

"Ini siapa? Kita di mana?" Emak tidak cam itu dirinya. Saya menahan rasa sambil menjawab apa musykilnya.

"Alhamdulillah, kalau ada rezeki, nak lagi pergi umrah..., pergi haji." Saya dengar sahaja sambil berbisik dalam hati.

'Amin Ya Allah.'

Kredit foto: Tuan Alif Basri, wakil Perbadanan Kota Buku
turut membawa buku Travelog Haramain Mengiringi Ibu Bapa Tercinta
ke Indonesia International Book Fair pada tarikh 12 September, 2018.